Sunday, March 2, 2008

NOH OMAR, DATUK

Nama: Datuk Noh Omar
Tarikh Lahir: 23 Februari 1958
Tempat Lahir: Tanjung Karang, Selangor
Jawatan: Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Selangor.


KERJAYA politiknya bermula dari bawah iaitu sebagai ahli UMNO Cawangan Parit 2, Sungai Burung, Selangor, sehingga dipilih menjadi Ketua Bahagian UMNO Tanjung Karang, iaitu jawatan yang dipegangnya ketika ini.

Namanya cukup dikenali kerana kelantangannya berhujah menangkis serangan wakil pembangkang di Parlimen.

Apatah lagi sebelum ini beliau merupakan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang mana tugas menjelaskan isu melibatkan kerajaan sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya.

Faktor tersebut juga secara langsung menonjolkan ketokohan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, 45 dalam arena politik tanah air.

Selain bergiat aktif dalam politik, beliau turut menyumbangkan tenaga dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Pelajar Luar Negara dan Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab UMNO Luar Negara.

Didorong oleh keinginan untuk turut serta membuat keputusan dan menggubal dasar dalam parti, anak jati Tanjung Karang ini menawarkan diri bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan UMNO, September ini.

Bekas guru yang kemudiannya menukar kerjaya kepada peguam itu mengambil keputusan berbuat demikian kerana menganggap jawatannya sebagai timbalan menteri dalam hal yang berkaitan keselamatan dalam negara akan dapat membantu parti untuk menggubal dasar berkaitan negara.

Beliau juga bekas penuntut Ealing College Higher Education, London .

Secara ringkasnya, Noh sebelum ini pernah menjadi Presiden Kelab UMNO di United Kingdom, Eire dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dalam barisan Kabinet yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihan raya umum lalu.

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz Shah, Kuala Selangor pada 1983 dan kemudiannya menjadi Pegawai Undang-Undang, Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 1988.

Seterusnya Noh mengorak langkah dengan membuka firma guaman Ahmad Famy & Noh.
Dalam politik pula, beliau pernah menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Karang pada 1987, menjadi Ahli Jawatankuasa Biro Antarabangsa UMNO Malaysia, Pembantu Whip, Barisan Nasional (BN) dan dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Tanjung Karang.

Sementara penyertaan sulungnya dalam pilihan raya bermula pada 1995 dengan menewaskan calon Semangat 46, Nordin @ Sherif Abdul Latif bagi Parlimen Tanjung Karang dengan majoriti 15,818 undi.

Noh kemudiannya menang dalam pilihan raya 1999 dengan menewaskan calon Pas, Dr. Mohd Yusof Abdul Wahab bagi Parlimen yang sama.

Dalam pilihan raya umum lalu, beliau menang dengan majoriti 9,008 undi menewaskan calon Pas Abdul Ghani Samsudin di Parlimen Tanjung Karang.

Noh berkongsi hidup dengan Profesor Madya, Datin Dr. Aishah Salleh dan mempunyai seorang cahaya mata, Nurul Syazwani.

No comments: